Tuesday, April 28, 2020

Asal Usul Melayu Sarawak


Terdapat 3 asal-usul mengenai orang Melayu di Sarawak iaitu:-

1) Berasal dari Sumatera dan Tanah Melayu.

Suku kaum Melayu di Sarawak mendiami kawasan persisiran pantai. Mereka dipercayai berasal dari Sumatera (dan sesetengah sumber lain juga menyebut Semenanjung Tanah Melayu). Mereka mula datang ke Sarawak sejak kurun ke-15 Masihi lagi. Penempatan awal mereka adalah di Lidah Tanah iaitu kawasan di sekitar Sungai Sarawak (kini terletak di Bahagian Kuching).

Pada masa itu, suku kaum ini diketuai oleh seorang Putera Raja bernama Datuk Merpati Jepang. Orang Melayu beragama Islam dan menjalankan aktiviti ekonomi menangkap ikan di laut, bertani dan berniaga. Setelah mereka dijajah oleh Kesultanan Brunei pada kurun ke-16, keturunan Datuk Merpati Jepang terus dilantik sebagai pentadbir di sini dengan memakai gelaran Datuk. Akhirnya lahirlah jawatan-jawatan pentadbir seperti Datuk Patinggi (sebagai ketua menteri), Datuk Temenggung (menjaga keamanan dan keselamatan) dan Datuk Bandar (mengendalikan hal-hal perdagangan).

2) Keturunan Melayu Brunei (Kesultanan Brunei).

Menurut satu sumber yg lain, orang Melayu yang mendiami kawasan-kawasan yang berdekatan dengan Brunei seperti di Bahagian Miri adalah berasal dari keturunan Melayu Brunei. Keturunan golongan ini memakai gelaran Abang (bagi lelaki) dan Dayang (bagi perempuan) yang juga berfungsi sebagai nama keluarga (surname). Mereka mula masuk ke Sarawak setelah Sarawak dijajah oleh Kesultanan Brunei.

3) Berasal dari Bangsa Dayak yang memeluk Islam dan telah mengadaptasikan adat, kebudayaan dan cara hidup orang Melayu serta bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.

Golongan ini merujuk kepada orang-orang Melayu yang menetap di bahagian lain di Sarawak. Nenek-moyang kepada golongan ini boleh dikatakan orang Dayak yang terasimilasi menjadi kaum Melayu secara rela setelah memeluk Islam.

Kewujudan golongan ini juga telah menyebabkan terciptanya bahasa Melayu loghat Sarawak. Seperti bahasa Melayu loghat Kelantan, bahasa Melayu loghat Sarawak agak sukar untuk difahami oleh penutur-penutur loghat Melayu yang lain kerana loghat tersebut banyak menyerap perkataan dan istilah dari bahasa Dayak khususnya Iban.

No comments:

Post a Comment