54 tahun lalu, tarikh keramat 29 Disember 1966 tercatat bagaimana sejarah KD HANG TUAH bermula. Sejarah KD HANG TUAH yang panjang sudah cukup menggambarkan detik-detik kegemilangan kapal ini yang telah merentasi hampir seluruh lautan di dunia dan berlabuh di pelbagai pelabuhan negara-negara asing sebagai duta kecil Malaysia. Mengambil nama Laksamana terbilang ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu Laksamana Hang Tuah, KD HANG TUAH tidak dapat disangkal antara aset TLDM yang berupaya bertahan di dalam inventori TLDM hingga ke hari ini yang kini menjangkau usia 54 tahun kapal.
Menyorot kembali detik-detik permulaan pembinaan kapal ini, KD HANG TUAH dibina oleh limbungan Yarrow Shipbuilders di Glasgow, Scotland. Kapal ini asalnya dibina untuk Tentera Laut Ghana, dan sepatutnya digunakan sebagai Kapal Laksamana (flagship) Tentera Laut Ghana. Ia dilengkapi dengan kemudahan penginapan untuk Presiden Ghana Kwame Nkrumah dan dinamakan Kapal Black Star. Selepas Kwame Nkrumah digulingkan pada tahun 1966, kerajaan baru Ghana telah membatalkan pesanan untuk kapal ini kerana harganya yang terlalu mahal iaitu £5 juta ketika itu. Oleh kerana kapal ini tidak disiapkan dengan sepenuhnya, ia dibiarkan di tambatan untuk beberapa tahun sebelum dipindahkan ke Portsmouth dalam bulan April 1972 dan kemudian ke Limbungan Chatham untuk dilengkapkan semula supaya menepati piawaian kelengkapan kapal frigat Tentera Laut Diraja British.
Pada 16 Mei 1973, kapal ini ditauliahkan sebagai Her Majesty Ship (HMS) Mermaid dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja British. HMS Mermaid dihantar untuk bertugas di Timur Jauh kerana kelengkapan persenjataannya yang agak ringan menyebabkan ia tidak sesuai untuk penggunaan di Eropah dan dihantar bertugas sebagai kapal pengganti kepada HMS Chichester, kapal pengawal di Hong Kong. HMS Mermaid juga bersedia untuk memindahkan rakyat British dari Saigon semasa penghujung Perang Vietnam. Dalam perjalanan pulang ke Britain, HMS Mermaid berlanggar dengan kapal penyapu periuk api HMS Fittleton yang sedang menjalani satu latihan NATO dan mengakibatkan beberapa kematian. Selepas dilucut tauliah di dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja British, kapal ini digunakan untuk menjalankan ujian petunjuk sasaran bergerak yang membantu radar mengenal pasti sasaran di antara selerakan yang dihasilkan oleh permukaan laut.
KD HANG TUAH diasaskan kepada reka bentuk Type 41/61 Tentera Laut Diraja British tetapi dengan badan kapal dan perkakasan yang diubahsuai untuk kegunaan Ghana. Badan kapal ini cembung sedatar dan serombong kapal ditiruskan menjadi satu serombong sahaja. Kawasan penginapan kapal ini diperbesarkan dan ditambah untuk kegunaan Presiden Nkrumah sementara persenjataannya pula dimudahkan oleh Tentera Laut Ghana (pembeli asal) untuk menjimatkan kos binaan. Meriam 4 inci dengan laras kembar dipasangkan di hadapan kapal ini menggunakan tapak cagak (mounting) Mk19. Difahamkan juga, terdapat 4 buah meriam tunggal bersaiz 40mm jenis sekunder Bofors antiudara. Terdapat juga kelengkapan antikapal selam yang menggunakan Mortar Limbo MK 10 yang dipasangkan di bahagian buritan kapal. Kapal ini diberikan sonar jenis Type 170 dan Type 176 dan radar jenis Plessey AWS-1 untuk carian udara. Kapal ini menggunakan alat navigasi dari jenis Racal Decca 45, penjejak permukaan jenis Ericson Sea Giraffe 150HC dan sebuah radar pandu arah. Kapal ini mempunyai berat sesaran standard 2,300 tan, dan kebolehan kelajuan maksima 24 knot. Panjang kapal ialah 103.5 meter, manakala lebar kapal 12.2 meter dan draf kedalaman 4.9 meter. Walaupun tidak dilengkapi dengan helikoter tetapi kapal ini mempunyai platform untuk sebuah helikopter yang bersaiz sederhana. Malah, Kapal ini boleh memuatkan seramai 210 orang krew dalam satu-satu masa.
Dalam 22 Julai 1977, KD HANG TUAH telah ditauliahkan oleh Datin Badariah bt Abdullah, isteri kepada Datuk Abdullah bin Ali Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London ketika Istiadat Penamaan dan Pentauliahan KD HANG TUAH di Southampton, England. Kerajaan Malaysia telah membeli KD HANG TUAH dengan nilai $16 juta. Kapal ini menggantikan frigat KD HANG TUAH (F433) (ex-HMS Loch Insh) yang dilucutkan tauliah di dalam perkhidmatan TLDM kerana sudah usang. KD HANG TUAH (F76) meneruskan penggunaan nombor pennant F76 yang digunakan oleh HMS Mermaid sebelum ini.
KD HANG TUAH dalam perjalanan pulang dari Southampton, England telah singgah dibeberapa buah pelabuhan termasuk Casablanca, Tunisia, Iskandariah, Jeddah, Abu Dhabi dan Colombo. Semasa berlabuh di Jeddah, keseluruhan 167 pegawai dan anggota KD HANG TUAH yang beragama Islam telah melakukan ibadah umrah bagi mendapat keberkatan kapal pulang ke tanah air. Leftenan Kolonel (Laut) Tuan Hashim bin Tuan Mohamad N/400152 merupakan Pegawai Memerintah KD HANG TUAH yang pertama yang mengetuai 167 orang pegawai dan anggota kapal dari pelayaran hampir dua bulan. Setiba kapal di tanah air, upacara Menepung Tawar KD HANG TUAH telah dilaksanakan pada 14 Okt 1977. Ketua Turus Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Ibrahim bin Ismail telah diberi penghormatan untuk melakukan upacara Menepung Tawar KD HANG TUAH. Turut menghadiri upacara ini adalah Ketua Turus Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohamad Sany bin Abdul Ghafar, Ketua Turus Tentera Laut Laksamana Muda Mohd Zain bin Mohd Salleh dan pegawai-pegawai tertinggi TLDM. Setelah ditauliahkan, KD HANG TUAH menjadi aset strategik di dalam skuadron kapal frigat TLDM.
Tahun berganti tahun, KD HANG TUAH kini terhad dengan keupayaan teknologi yang tidak sesuai pada zamannya. Pada disember 2006, KD HANG TUAH telah ditugaskan sebagai satu-satunya kapal di dalam Skuadron Frigat ke-21 Armada TLDM di bawah Flotila latihan. Kapal ini digunakan sebagai kapal latihan untuk melatih Pegawai Dalam Latihan (PDL) dan Laskar Dalam Latihan (LDL). Kapal ini menjalankan pelbagai bentuk latihan bagi memastikan pelatih mendapat latihan yang maksimum demi memenuhi kehendak perkhidmatan TLDM. Kini disember 2016, Sementelah menganjak 50 tahun usia KD HANG TUAH, kapal yang pernah digeruni ini di dalam flotilla kelas tersendiri kini meniti hari di penghujung usia. Amanah dari krew pertama yang membawa pulang ke Malaysia pada 21 Julai 1977 dahulu tidak akan dilupakan walau sekali. Amanah yang sejak 50 tahun dahulu ketika kapal ini dirasmikan hingga kini 29 Disember 2016, adalah detik penentuannya. Ia masih utuh dan gagah membadai lautan samudera dengan membawa amanah yang selama ini dipikul demi keselamatan perairan dan kedaulatan tanah air tercinta.
Kesempatan menemui salah seorang krew pertama Pak Idrus Abas beberapa minggu lepas di Putrajaya yang mana beliau salah seorang yang membawa pulang KD HANG TUAH dari Southampton, England ke Malaysia. Pengalaman bertemu Old Navy ini amat mengujakan penulis. Tidak kira warga Navy People atau masyarakat di negara ini terutama belia dan beliawanis seharusnya sentiasa mengingati jasa dan sumbangan wira-wira yang tidak didendang ini yang membina membangun serta memperkukuh keselamatan Malaysia seperti yang kita nikmati pada hari ini. Di dalam memastikan semangat patriotisme kekal membara di kalangan generasi muda terutamanya, KD HANG TUAH merupakan manifestasi sebuah model kebanggaan negara di dalam mempertahankan maruah negara dari anasir-anasir luar yang perlu kita hargai untuk tatapan generasi akan datang.
Lt Mohd Hisyam bin Sah Nuddin TLDM
Penyelidik Sejarah
Pusat Sumber Maritim dan Sejarah (PUSMAS) TLDM
No comments:
Post a Comment