Tuesday, April 28, 2020

Tunku Muhammad Saad - Perjuangan Menentang Penjajahan Siam

Makam Tunku Muhammad Saad

"Pada 24 Mac 1838, Tunku Muhammad Saad bin Tunku Daud dan Dato' Wan Muhammad Ali menyebarkan surat jemputan ke Seberang Perai, menjemput datang berkumpul di Sungai Muda dan Sungai Merbok untuk sama-sama menentang Siam di Kedah. Tunku Muhammad Saad dibantu oleh Dato' Muhammad Ali dari Langkawi; Tunku Muhammad Taib dan Tunku Muhammad Akib dari Setul; Syed Husin dan Wan Muhammad Arshad dari kayang (Perlis); Tunku Abdullah, Tunku Sulaiman; Syeikh Abdul Samad al-Palembangi, seorang ulama terkenal di Kedah pada ketika ini; juga panglima perang, seperti Tok Mo Ris(Bomoh Idris) dari Perupok, Kubur Panjang; Dato' Syahbandar Wan Daud dari Pulai, Baling dan Dato' Madi dari Bandar Baru. Dato' Panglima Bukit Gantang juga menghantar 100 orang dan lima buah perahu ke Kedah membantu gerakan menentang Siam. 

Dalam usaha mengembeling tenaga sokongan penduduk Kedah, Tunku Muhammad Saad menyeru semua yang ingin menyertai gerakannya dan mendapat rahmat Allah berkumpul di Sungai Merbok. Penduduk Kedah menyahut seruan ini berkumpul di Sungai Merbok. Penduduk Kedah juga memberi sokongan kepada Tunku Muhammad Taib. Tunku Muhammad Saad melancarkan gerakannya pada bulan Mei 1838. Tunku Muhammad Taib berkumpul di Seberang Perai bersama-sama kira-kira 700 atau 800 orang dan kemudiannya memasuki Kedah. Angkatan Tunku Muhammad Saad yang berada di Sungai Muda mara ke Kedah setelah berjaya mengalahkan tentera Siam yang bertahan di sempadan Seberang Perai.

Pada 13 Jun 1838, angkatan di bawah pimpinan Tunku Muhammad Saad bergabung dengan angkatan Tunku Muhammad Taib berjaya mengundurkan pasukan tentera Siam yang berada di Kuala Sungai Merbok. Dengan itu angkatan ini mara ke Kedah dan Perlis. Pada 3 Ogos 1838, Tunku Muhammad Saad dan angkatannya melancarkan serangan ke atas Kota Kuala. Serangan Tunku Muhammad Saad ini dapat diatasi oleh pasukan Siam yang terdiri daripada 70 orang yang mendapat bantuan 300 orang Melayu melalui kerahan. Angkatan Kedah melancarkan serangan sekali lagi pada 4 Ogos 1838. Kali ini angkatan di bawah Tunku Muhammad Taib datang dari darat, membawa keluarga orang Melayu yang berperang bagi pihak Siam di dalam Kota Kuala. Keluarga orang Melayu tersebut dijadikan benteng pertempuran. Apabila tiga orang tua dan dua orang wanita terkorban serta ramai yang cedera, menyebabkan orang Melayu yang berada di dalam kubu menyokogan tentera Siam keluar menyokong Tunku Muhammad Taib.

Angkatan Siam yang tidak dapat bertahan mengundurkan diri ke arah Perlis. Setelah pasukan kerahan Melayu tidak ada lagi membantu pertahanan di Kota Kuala, pasukan tentera Siam menjadi lemah. Kota Kuala dapat diambil semula oleh Tunku Muhammad Saad. Tentera Siam yang gagal melarikan diri telah ditangkap dan diseksa hingga mati. Tindakan ini dilakukan kerana tentera Siam pernah melakukan perkara yang sama ke atas orang Melayu sebelum ini. Angkatan Tunku Muhammad Saad melancarkan serangan ke atas pasukan Siam yang cuba bertahan di Alur Ganu di bawah Phya Buri Sukhuton dan berjaya mengalahkan mereka. Dato' Muhammad Ali pula bergerak ke utara dan berjaya menduduki semula Setul. Kemudiannya tentera Siam dihalaukan keluar dari negeri Kedah; angkatan Kedah di bawah pimpinan Tunku Muhammad Saad berjaya menegakkan kembali kedaulatan Melayu dan Kedah.

Kerajaan Bangkok menuduh British lebih berpihak kepada Kedah. Angkatan Tunku Muhammad Saad di bawah Wan Ua(?) dan Wan Mat Pulau mara ke Chenak. Penduduk Cina dan Siam melarikan diri ke Senggora. Dalam ekspedisi ini angkatan Kedah telah memusnahkan kampung-kampung dan kuil Buddha. Angkatan ini mara ke Kota Baru, Reman dan seterusnya ke Kuala Bekah, Patani. Di samping itu angkatan di bawah pimpinan Tunku Muhammad Taib dan Tunku Muhammad Jiwa bersama kira-kira 2,500 orang bergerak ke Senggora dan berjaya mendudukinya. Mereka mendirikan 11 kubu kecil di sini. Angkatan Tunku Muhammad Saad bersama dengan Syeikh Abdul Samad al-Palembangi bersama 4,200 orang juga menuju ke utara dan menduduki Hadyai.

Kejayaan angkatan Tunku Muhammad Saad menghalau tentera Siam dari Kedah dan mendaulatkan kembali kuasa dan politik Melayu telah mengejutkan kerajaan Siam. Dengan itu Chao Phya Ligor dan Chao Phya Senggora yang ada di Bangkok diperintahkan pulang oleh Raja Siam mengumpul kekuatan mengatasi pasukan Kedah di bawah pimpinan Tunku Muhammad Saad. Serangan balas daripada angkatan Siam yang terdiri daripada 500 orang Cina, 2,000 orang Siam dan Melayu tidak dapat dihadang oleh angkatan Tunku Muhammad Taib yang berkubu di Senggora. Dalam pertempuran ini angkatan Kedah kehilangan jiwa 150 orang. Angkatan Tunku Muhammad Saad dan Syeikh Abdul Samad al-Palembangi yang berada di Hadyai juga gagal mengatasi serangan balas angkatan Siam di bawah Chao Phya Ligor yang berlarutan kira-kira 20 hari. Walaupun Tunku Muhammad Saad dapat mengundurkan diri tetapi Syeikh Abdul Samad al-Palembangi terkorban dalam pertempuran tersebut. Selain itu Setul juga telah diduduki kembali oleh angkatan Siam.

Kemudiannya angkatan Siam melancarkan serangan ke atas kubu pertahanan orang Melayu di Alur Ganu. Pertahanan Kedah di Alur Ganu di bawah Tunku Muhammad Saad dan Dato' Wan Ali telah pecah; angkatan Siam berjaya mendudukinya. Angkatan tentera Siam datang dalam tiga pasukan bersama gajah, kerbau dan bersama mereka terdapat kanak-kanak serta wanita, berpakai biasa tetapi rambut mereka dipotong yang ditawan dari kampung Alur Lakkah(?), yang mana suami mereka berada dalam kubu di Alur Ganu. Haji Muhammad Taib yang mengalami kecederaan berundur; menaikki perahu ke Pulau Pinang. Tunku Muhammad Taib pula setelah gagal bertahan kubu Alur Ganu daripada serangan Siam, berundur di waktu malam ke Kuala. Pihak British menghantar kapal Hyacinth untuk mengepung pantai Kedah. Kapal ini bertugas dari 6 Disember 1838 hingga 11 April 1839. Ketika mengepung persisiran pantai Kedah, angkatan British memusnah perahu dan harta orang-orang Kedah.

Dalam bulan Februari 1839, angkatan Siam kira-kira 4,000 orang telah melanggar Kota Kuala yang dikawal oleh Tunku Abdullah. Tunku Muhammad Saad bergabung di Kota Kuala selepas angkatannya gagal mengatasi serangan tentera Siam di kubu Alur Ganu. Di antara mereka yang terlibat dalam pertahanan di kota kuala ialah Tunku Abdullah, Tunku Muhammad Saad, Tunku Muhammad Seawee [Zawawi?] dan Tunku Muhammad Taib. Jumlah tentera yang bertahan pula kira-kira 500 orang. Akhirnya Kota Kuala diduduki semula oleh angkatan Siam pada 20 Mac 1839.

Setelah kekalahan di Kota Kuala, pasukan tentera Kedah berkumpul lagi dan melancarkan serangan kira-kira tiga hari ke atas pertahanan tentera Siam di kubu Alur Ganu. Dalam pertempuran yang berlarutan selama tiga hari, pasukan Kedah gagal mengalahkan tentera Siam. Dengan itu Tunku Muhammad Saad berundur. Wan Muhammad Ali, Haji Mustaffa dan Wan Ismail berjaya mengundurkan diri ke Langkawi pada malam hari, 3 April 1839. Wan Muhammad dikatakan bersiap sedia untuk mengundurkan diri seterusnya ke Batu Bara, Sumatera. Kapal Hyacinth datang ke Langkawi dan mendapati beberapa buah perahu dimusnahkan. Tunku Muhammad Saad dilaporkan berundur ke arah Seberang Perai dan kemudiannya beliau ditangkap oleh British dengan tuduhan sebagai "lanun".

Tunku Abdullah berundur ke Perlis dan kemudiannya menyerah diri kepada Gabenor S.G. Bonham di Pulau Pinang. Ketika serangan Siam ke atas Kedah, kira-kira 1,000 orang wanita dan kanak-kanak Kedah berlindung dalam jajahan British. Siam pula mengibarkan bendera setelah berjaya menawan kubu-kubu pertahanan Kedah. Sementara itu Tunku Jaafar, saudara Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah dan Tunku Dai atau Tunku Zainal Rashid, cuba berunding dengan pihak Siam. Tunku Muhammad Saad yang ditahan oleh British dihadapkan ke mahkamah. Walaupun bebas daripada tuduhan sebagai "lanun", Tunku Muhammad Saad dibuang ke Culcutta. Beliau kemudiannya dibenarkan pulang dan meninggal dunia di Pulau Pinang".

No comments:

Post a Comment